" Sebelum DIA memberi kesenangan kepada manusia, DIA berikan dulu kesusahan dan kerumitan. Semakin besar kesusahan itu, semakin besar kesenangan yang bersembunyi di belakangnya. Cuma kita perlu berusaha mencari kesenangan dan sabar menghadapi kesusahan. Jadi kita perlu banyakkan berdoa."

Search this Blog

Lepa siling Mewah

Lepa siling mewah



SILING plaster turut digunakan untuk menutup ruang yang mungkin kurang enak dipandang.



DARIPADA kediaman ke premis perniagaan dan hotel, siling plaster atau siling kapur pasti menjadi titik tumpu bahkan lambang kemewahan.
Biarpun ringkas dengan hanya menggunakan motif geometri seperti garisan lurus atau oktagon, lepaan yang menggunakan hampir 80 peratus kapur itu tetap menyerlah.
Apatah lagi teknologi terkini memberi dimensi baru dalam pembuatannya.Mengunjungi Pullman Putrajaya, ketelitian reka bentuk hotel lima bintang itu bukan sahaja meliputi lantai dan dinding tetapi juga siling dan bumbungnya.
Menggunakan pelbagai material, hotel tersebut turut menerima sentuhan mewah pada siling lepa di bahagian utama.Tidak kira sama ada sekadar menerapkan warna asal iaitu putih atau pelbagai warna, siling plaster berjaya mengubah mood sesuatu ruang.


GABUNGAN siling plaster, kipas dan lampu menjadikan sesuatu ruang kelihatan sangat mewah.



Seni lama
Mengikut rekod, pembuatan siling plaster terawal ditemui dalam masyarakat Jordan yang dikenali sebagai Ain Ghazal sekitar 7,500 tahun Sebelum Masihi.
Mereka menggunakan campuran limau dengan batu kapur yang dihancurkan untuk menghasilkan lepaan bagi menutup dinding, lantai dan pendiang api di rumah mereka.
Sejarah kuno India dan China pula mencatatkan penggunaan plaster berasaskan gipsum bagi menyeliputi permukaan batu kasar atau dinding batu lumpur.
Menurut seorang pereka dalaman, Faizah Zainal dari Faizah Zainal Lifestyle Design, jenis rekaan siling plaster terkini yang menjadi pilihan pelanggan bersifat subjektif.
Ungkapnya, ia bergantung pada cara hidup pelanggan dan ruang atau suasana yang mahu ditonjolkan.
Tambah Faizah, memilih pekerja yang mahir memasang siling plaster sama penting dengan pemilihan material dan corak.


BIRAI siling plaster corak geometri menjadi pilihan Pullman Putrajaya.



“Dengan gabungan tersebut, hasil kerja dan keindahan siling plaster lebih terserlah,” jelas Faizah.
Sama ada sentuhan gaya roman atau kontemporari, lekuk, tetangga serta garisan yang terhasil menerusi acuan khas, semuanya berfungsi sebagai pengindah ruang.
Ia juga digunakan untuk menutup kecacatan siling asal yang mungkin bermasalah.

Infra merah
Di samping itu, siling plaster juga membantu menentukan pencahayaan lampu yang sempurna di dalam sesebuah ruang.
“Dengan adanya siling plaster, sumber lampu tidak terus ke dalam ruang tersebut sekali gus ‘melembutkan’ cahaya itu,” kata Faizah.
Bagi Pengarah Urusan, Victory Plaster Sdn. Bhd., Lydia Tee, selain keindahannya, faktor keselamatan penghuni rumah wajar dititikberatkan melalui penggunaan siling lepa bebas toksin.
“Seperti di kilang kami, bahan utamanya ialah serbuk gipsum manakala bahan mineral lain diperoleh daripada pengeluar terbaik,” katanya mengenai papan siling Queen keluaran Victory Plaster.
Apa yang lebih menarik, kombinasi bahan yang digunakan turut menghasilkan sinaran infra merah bagi kebaikan kesihatan penghuni.
“Sinaran yang terdapat di dalam lepa siling berupaya meneutralkan kandungan toksin formaldehyde yang terperangkap.

MEMILIH pekerja yang mahir juga penting untuk hasil yang halus dan kemas.


“Secara tidak langsung, sebanyak 50 hingga 60 peratus bau kurang enak selepas proses ubahsuai seperti mengecat akan berkurangan dalam masa 24 jam dan hilang sekitar dua atau tiga hari,” jelasnya yang memberitahu, spesifikasi siling buatan mereka ialah 900mm x 1,800mm x 8.8mm.
Kepingan siling yang dipasang terbukti mengurangkan keletihan kerana infra merah dapat menghasilkan getaran mikro.
“Ia merangsang aliran darah, kualiti tidur dan mengurangkan tekanan di tempat kerja,” jelas Lydia.
Ujarnya lagi, semua itu berlaku disebabkan ion negatif yang membantu membentuk oksigen bagi memudahkan pengeluaran karbon daripada paru-paru.
Untuk itu, siling plaster yang dipasang menggunakan teknologi tersebut menghasilkan kandungan ion negatif sehingga 50,000 per sentimeter padu iaitu sama dengan udara di dalam hutan segar.


(Sumber Maklumat Dari KOSMO online-Alam damai)

0 ulasan: